12 Julai 2022 – Seramai 1,550 orang hadir pada Program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (Zon Tengah) Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) 2022 bertempat di perkarangan Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Trong pada pagi ini. Sejumlah 24 ekor lembu telah disembelih bagi ibadah qurban dan dagingnya telah diagih-agihkan kepada asnaf dan penduduk kampung sekitar kawasan Sungai Kerang.
Program ini dilaksanakan bertujuan untuk membawa dan memperkenalkan KeTSA kepada masyarakat khususnya di Mukim Trong, Daerah Larut Matang dan Selama. Program yang berkonsepkan “turun padang” ini memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengenali KeTSA dengan lebih dekat selain dapat memahami fungsi serta perkhidmatan yang diberikan oleh KeTSA serta Jabatan dan Agensi dibawahnya kepada kumpulan sasar.
Terdapat 11 pameran daripada Jabatan dan Agensi di bawah KeTSA yang menyertai program ini. Pengunjung pada masa yang sama dapat berhubung terus dengan Jabatan dan Agensi di bawah KeTSA ini bagi urusan-urusan yang berkaitan dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
Selain itu, acara simbolik penanaman beberapa anak pokok sempena “Program Penghijauan Malaysia” telah disempurnakan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Acara ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara. Turut hadir bersama Ketua Setiausaha KeTSA, YBhg Dato’ Haji Rosli Isa, Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), YBrs. Encik Abdul Wahid Abu Salim, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga), YBrs. Encik Mohamad Razif Hj Abd Mubin, Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama, YABhg. Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Dato' Haji Wan Mohd. Isa Dato' Haji Wan Mohd. Razali, ADUN Trong, YB Puan Jamilah binti Zakaria dan Yang Dipertua MPT, YBrs. Tuan Khairul Amir Mohamad Zubir.
Majlis Perbandaran Taiping
Wisma Perbandaran Taiping, Jalan Taming Sari, 34000 Taiping, Perak
+605 - 808 0777
+605 - 806 8957 / +605 - 805 3000
mpt[at]mptaiping[dot]gov[dot]my